Wednesday, March 25, 2009

Doaku Yang Panjang - 1


Tiga batang pohon kelapa berdiri sebaris itu masih meliuk lentok mengikut tiupan angin. Tunduknya pada pencipta, kadang sujudnya hingga daun mencecah pasir. Dinding batu itu masih teguh berdiri. Walaupun biruannya telah kelihatan luntur dek panahan mentari dan rintik-rintik hujan, tapi ia masih tetap mampu mengimbau beribu kenangan yang telah dititip dalam kehidupan seorang gadis bertudung litup itu.

Hembusan angin laut membuatkan hati Arissa terpaku pada keindahan maha pencipta. Matahari yang gagah di waktu siang kini mula akur pada undang-undang sang bumi yang meminta disimbahi cahaya bulan. Dia berdiri tepat menghadap ke laut yang luas terbentang. Di belakangnya tinggal sisa kenangan Sekolah Kampung Pari. Arissa kini sedang menghitung degup jantungnya sendiri. Masih belum berhenti berdegup. Terima kasih wahai Tuhan. Panjat syukurnya pada belahan langit merah itu.

“Awak masih sudi menjenguk sekolah kita, Arissa,” tiba-tiba suatu suara menyekat lamunannya. Arissa kenal benar suara itu tetapi dia tidak segera berpaling. Degup jantungnya berhenti seketika dan kemudiannya bertukar laju. Pandangannya turut beralih nun jauh kepada si nelayan yang sedang mendayung sampan menuju ke tepi pantai. Tak mungkin dia berani mengadap insan bunian yang tiba-tiba muncul di belakangnya setelah sepuluh tahun dia meninggalkannya tanpa khabar berita.

“Awak dah tak sudi memandang saya, Arissa? Atau awak juga seperti yang lain tak sudi berkawan dengan nelayan seperti saya ni?” suara itu seakan-akan membentak. Mungkin menyangka sapaannya tadi tidak mendapat respon yang baik dari Arissa.

Arissa berpaling, memandang seketika lelaki yang empunya suara tadi. Kemudian tunduk memandang butiran halus pasir putih di pantai itu. Malunya pada Affan tidak tertanggung lagi walaupun rindunya kembali bertaut. Dihempas rindunya pada kulit kerang yang betul-betul berteleku di hujung jari kakinya.

Affan menguntum senyuman. Dia faham benar dengan perangai Arissa yang kadang-kadang malu tak bertempat itu. Jalinan persahabat seawal musim kanak-kanak lagi telah menjadikan mereka berdua rapat bukan sahaja pada zahirnya tapi hati dan jiwa mereka turut sama melingkar sebuah tali ukhwah yang maha hebat.

“Maafkan aku Affan,” detik hati Arissa yang masih belum berani mengangkat kepala. Affan masih berdiri tegap di situ. Kadang-kadang matanya mencuri pandang tangan Arissa yang sedang menggengam erat sebuah buku dalam dakapannya. Penciptaku Adalah Dia, tajuk buku yang mungkin sedang dibaca oleh Arissa sebelum dia tiba di gigi pantai tadi.

Menduga bahawa Arissa masih belum bersedia berjumpa dengannya, Affan segera mengatur langkah perlahan meninggalkan Arissa. Arissa masih berdiri kaku membiarkan ombak menyentuh kakinya. Kulit kerang tadi telah tiada. Pulangnya kepada laut atau berubah ke tempat lain menanti sang bulan membawa khabar berita.

“Maafkan aku, Affan. Aku amat merinduimu. Aku kepingin sekali menyambung semula persahabatan kita,” Arissa mula menyusun kata. Rentak hatinya kecewa melihat Affan berlalu tanpa menoleh.

“Maghrib dah ni. Jangan berdiri kat situ lagi. Sang Kelembai ada. Kita akan berjumpa lagi, jika awak sudah bersedia,” teriak Affan dari kejauhan. Suara sayup-sayup itu mendendangkan kembali irama kegembiraan di hati Arissa. Bibir Arissa menguntum senyuman. Affan yang ringkas berkain pelikat dan berbaju Melayu membalas senyuman itu walaupun suatu ketika dulu dia pernah menangis kerana kehebatan senyuman wanita itu.

“Maha Esa, Tuhanku. Jangan kau bawa dia pergi dariku lagi.” Affan sempat menitip doa sebelum menyambung derap langkahnya menuju surau di hujung pantai itu. Seketika kemudian, kedengaran laungan azan maghrib memecah keheningan senja.

Arissa sekali lagi melemparkan pandangan ke tengah lautan yang kelihatan merah menyala akibat lantunan sang mentari itu. Cukup tenang setenang jiwanya yang sedang melirik bait-bait Azan yang sedang mendayu itu. Mengingatkan dia tak sepatutnya masih berdiri di situ, Arissa segera mengatur langkah untuk pulang ke rumah Pak Lang yang terletak beberapa meter dari tempatnya berdiri. Affan telah hilang sejenak dari benak fikirannya.

0 Komen:

Post a Comment